Thursday, 12 September 2013

Paung Goreng

Paung goreng biasanya mudah didapati di negeri Terengganu. Ianya diperbuat daripada tepung pulut. Macam kuih bom bijan yang berinti kelapa di dalamnya, tetapi tiada bijan di luarnya dan dalamnya inti serunding ikan. Memang sedap sangat! Kuih kegemaran kami sekeluarga :)

Mengikut resepi asalnya, beras pulut dan sedikit beras nasi dikisar menjadi tepung. Tapi dunia dah terlalu moden sekarang ni guna tepung sedia ada saja. Malangnya tepung sedia ada yang dijual di pasaran telah dicampur dengan bahan-bahan lain menjadikannya tidak asli lagi. Paung yang diperbuat daripada tepung siap ni pon mudah sangat meletup ketika menggorengnya. 

Mengikut resepi yang diberikan Umi saya, tepung pulut dicampur sedikit dengan tepung beras. Tapi saya ubahsuai sebab kat sini (Jepun) susah nak cari tepung beras. Tepung beras Jepun lebih berkanji sebab beras mereka seakan-akan pulut kan. Saya juga dapat bezakan kalau guna tepung gandum ganti tepung beras, paung tu lebih lembut bila dah sejuk dan kurang meletup ketika digoreng.

Ikan pula saya lebih suka dibakar daripada direbus. Ikan bakar lebih wangi. Bila dah bakar, kuranglah air kan? Jadinya lebih cepat inti kering. Jika ikan direbus, air rebusan jangan dibuang. Sebaliknya dimasak sekali sehingga kering bersama bahan-bahan lain. 

Cara menggoreng pula ada banyak mazhabnya. Ada yang kata campurkan kelapa parut dalam bahan inti. saya tak pernah lagi cuba. Lagipun, memang saya kurang gemar mencampurkan kelapa parut dalam serunding ikan. Hilang keaslian rasa ikan tu rasanya. Ada juga yang mencadangkan adunan doh diperap 5-6 jam. Kaedah ini mungkin berkesan kerana saya telah mencubanya. Tapi kadang-kadang malas nak memerap, saya bancuh terus, uli dan goreng. Heheh...

Awal-awal dulu saya goreng dalam minyak yang banyak (berendam) dengan api yang sangat kecil untuk mengelakkan ianya meletup ketika digoreng. Sekarang ni dapat satu cara lain, goreng paung tu ketika minyak (banyak- berendam) betul-betul panas dan golek-golekkan sahaja sehingga ianya kekuning-kuningan. Nampak je paung tu mengelembung, cepat-cepat angkat. Kalau tak, meletuplah dia kenalah minyak panas pada muka dan sebagainnya. Hati-hati ketika menggoreng sebab paung memang mudah sangat meletup. Pastikan tiada anak kecil berhampiran ketika menggoreng ya...

Resepi paung ini saya sudah memuatnaik terlebih dahulu di myresipi dan saya taipkan lagi sekali di sini...




PAUNG GORENG

BAHAN-BAHAN DOH (5 orang):
  • 1 1/2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung gandum @ tepung beras
  • sedikit garam
  • air secukupnya
  • minyak secukupnya untuk menggoreng terendam
BAHAN-BAHAN INTI:
  • 200g ikan kembung/ selayang/ tenggiri/ parang @ apa-apa ikan yang sesuai (dibakar/ direbus & diambil isi)
  • 6 ulas bawang merah
  • 1 1/2 sudu kecil lada hitam biji
  • 1/2 cawan santan pekat @ 1 cawan santan / susu cair
  • 1 sudu kecil halba
  • 1 keping asam keping
  • garam dan gula secukup rasa

KAEDAH:
  1. Kisar bawang merah dan lada hitam dengan sedikit air.
  2. Masukkan semua bahan-bahan inti dan bahan-bahan kisar ke dalam kuali dan masak sehingga kering (jangan lupa bawa keluar asam keping apabila inti hampir kering). Sejukkan inti.
  3. Gaulkan tepung pulut, gandum @ beras, garam dan air (jangan terlalu lembut / keras).
  4. Bentukkan adunan tepung menjadi bebola kecil, leperkan, letakkan inti dan bentukkan kembali menjadi bola. Untuk mengelakkan bebola melekat antara satu sama lain dan mudah diangkat sebelum digoreng, gaulkan bebola di dalam mangkuk yang berisi minyak sedikit.
  5. Goreng dalam minyak yang banyak dengan api yang kuat/ sedang (masukkan paung ketika minyak betul-betul panas). Golek-golekkan paung dan terus angkat paung setelah ianya kekuningan. Angkat sebelum paung mengelembung besar kerana paung mudah meletup!

No comments:

Post a Comment