Friday, 13 September 2013

Nasi Tomato

Nasi tomato boleh dimakan dengan apa sahaja lauk yang sesuai. Tapi kebiasaannya, ayam masak merah lah kan? Tambah pula dengan acar atau salad, timun dan tomato segar, lagi mengancam!


Saya biasanya masak guna beras siam / biasa saja. Kalau nak lebih sedap, pastinyalah masak menggunakan beras basmathi :)
Sukatan air beras basmathi pula bergantung kepada jenis beras. Ada yang 1:1 dan 1:1.5


NASI TOMATO
Resepi asal: choppy@myresipi
Olahan semula: Ummu Iman

BAHAN-BAHAN (4 orang):
  • 3 pot (pot sukatan beras) beras basmathi / beras siam
  • 2 biji tomato besar dipotong dadu
  • 4 pot air (kalau guna beras basmathi) @ sukatan biasa mengikut jenis beras
  • 1/2 cawan susu cair @ susu segar
  • 5 sudu besar sos tomato
  • 1 helai daun pandan
  • garam secukup rasa
  • Bahan Tumis: 3 sudu besar mentega, 1 inci kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 1 biji buah pelaga, 2 ulas bawang putih dan 1/2 bawang besar dimayang
KAEDAH:
  1. Cuci beras dan rendam selama 15-30 minit. Toskan.
  2. Panaskan mentega/ minyak sapi. Tumiskan bahan-bahan tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan bahan-bahan lain kecuali beras. Masak sehingga mendidih.
  4. Masukkan beras dan masak nasi seperti biasa.

Tart Telur / Egg Tart

Tart telur ni dah banyak kali saya buat. Memang sedap dan rangup. Filling nye pon sedap, tak terlalu manis dan tak rasa hanyir telur. Sebelum ni pernah juga cuba resepi yang lain tapi resepi yang ini lebih mudah dan sedap rasanya. Crust yang lebih boleh simpan dalam peti ais untuk kegunaan akan datang.

Tart telur saya yang keemasan warnanya disebabkan kuning telur di Jepun warnanya lebih pekat dan gelap daripada telur-telur di Malaysia.


Resepi asal daripada Kak Azita & myresipi . Tapi saya ubahsuai semula resepi mengikut kesesuaian tekak kami sekeluarga. Minta halal ye tuan empunya :)


TART TELUR / EGG TART

BAHAN UNTUK CRUST:
  • 200 g tepung gandum
  • 90 g tepung jagung
  • 50 g gula halus
  • 170 g mentega bergaram (salted butter)
  • 1 biji telur gred B
BAHAN UNTUK FILLING:
  • 1 cawan susu cair @ susu segar
  • 4 biji telur
  • 1 cawan gula halus
  • 1 sudu besar tepung kastard
  • 1/2 sudu kecil esen vanila

KAEDAH:
  1. Untuk membuat crust: Masukkan (ikut turutan) telur, butter yang dipotong kecil (yang dibiarkan pada suhu bilik), gula dan tepung ke dalam bread maker / mixer. Sebatikan semua bahan sehingga membentuk doh. Jangan uli terlalu lama (Boleh juga menggunakan tangan). Balut doh dalam plastik dan simpan sebentar di dalam peti sejuk (chilled kan saja)
  2. Untuk membuat filling: Masukkan (ikut turutan) gula, telur, susu, esen vanila dan tepung kastard ke dalam pengisar. Kisar sebentar (jangan terlalu lama) semua bahan sehingga sebati. Tapis adunan ke dalam bekas lain (untuk membuang buih telur)
  3. Keluarkan doh daripada peti sejuk dan bentukkan/ tekan doh ke dalam bekas tart @ pie. Cucuk-cucuk dengan garfu pada dasar crust. Bakar sekejap pada suhu 180º-200ºC selama 10 minit / separuh masak.
  4. Tuangkan filling ke dalam crust yang telah separuh masak tadi dan bakar semula pada suhu 180º-200ºC selama 15 minit atau sehingga masak sepenuhnya.
  5. Jika menggunakan bekas pie, pastikan tart sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong.

Ayam Goreng Kicap Berempah

Lauk kegemaran suami saya! Resepi asalnya saya pelajari daripada rakan (orang Kedah) sewaktu menuntut di USM dahulu. Sangat mudah untuk menyediakannya. Sekali rasa seperti ayam masak kicap di restoran nasi kandar pon ade.. heheh



Resepi ini pernah saya muatnaikkan di myresipi dan saya tuliskan semula di sini.


AYAM GORENG KICAP BEREMPAH

BAHAN-BAHAN (4-5 orang):

  • 700g ayam dipotong dan digoreng garam kunyit sehingga masak / garing
  • 1 biji bawang besar 
  • 1 inci halia
  • 1 1/2 sudu kecil serbuk jintan manis / 1 sudu besar jintan manis
  • 5 biji cili api (jika mahu pedas)
  • minyak secukupnya untuk menumis
  • 2 sudu besar kicap lemak masin

KAEDAH:
  1. Kisar bawang besar, halia dan cili api. (Kisar sekali jintan manis jika tidak menggunakan serbuk)
  2. Tumis bahan kisar sehingga sedikit garing.
  3. Masukkan kicap dan ayam goreng. Masak sehingga agak kering.

Thursday, 12 September 2013

Ayam Madu (goreng) / Honey Fried Chicken

Kebiasaannya ayam madu dibakar atau dipanggang. Kali ini, saya goreng pula. Isi ayamnya kurang keras / kering berbanding dibakar atau dipanggang.

Sesuai juga untuk dijadikan lauk nasi ayam :)



AYAM MADU (GORENG) / HONEY FRIED CHICKEN

BAHAN- BAHAN (4 orang):
  • 4 keping isi ayam tanpa tulang / 4 ketul peha ayam
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 3 sudu besar madu
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam dan putih
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil serbuk bawang putih / 3 ulas bawang putih ditumbuk halus
  • 1/2 sudu kecil serbuk halia @ 1/2 inci halia ditumbuk halus
  • 1 sudu kecil serbuk cili (kalau nak pedas)
  • minyak goreng terendam
KAEDAH:
  1. Potong sekeping isi ayam kepada 2 bahagian dan cuci bersih.
  2. Gaulkan ayam dengan bahan perap sekurang-kurangnya 2 jam atau lebih sedap semalaman di dalam peti ais.
  3. Goreng di dalam minyak terendam sehingga garing.
  4. Air lebihan perap dimasak sehingga pekat (boleh dicampur sedikit tepung jagung) dan dijadikan sos.

Paung Goreng

Paung goreng biasanya mudah didapati di negeri Terengganu. Ianya diperbuat daripada tepung pulut. Macam kuih bom bijan yang berinti kelapa di dalamnya, tetapi tiada bijan di luarnya dan dalamnya inti serunding ikan. Memang sedap sangat! Kuih kegemaran kami sekeluarga :)

Mengikut resepi asalnya, beras pulut dan sedikit beras nasi dikisar menjadi tepung. Tapi dunia dah terlalu moden sekarang ni guna tepung sedia ada saja. Malangnya tepung sedia ada yang dijual di pasaran telah dicampur dengan bahan-bahan lain menjadikannya tidak asli lagi. Paung yang diperbuat daripada tepung siap ni pon mudah sangat meletup ketika menggorengnya. 

Mengikut resepi yang diberikan Umi saya, tepung pulut dicampur sedikit dengan tepung beras. Tapi saya ubahsuai sebab kat sini (Jepun) susah nak cari tepung beras. Tepung beras Jepun lebih berkanji sebab beras mereka seakan-akan pulut kan. Saya juga dapat bezakan kalau guna tepung gandum ganti tepung beras, paung tu lebih lembut bila dah sejuk dan kurang meletup ketika digoreng.

Ikan pula saya lebih suka dibakar daripada direbus. Ikan bakar lebih wangi. Bila dah bakar, kuranglah air kan? Jadinya lebih cepat inti kering. Jika ikan direbus, air rebusan jangan dibuang. Sebaliknya dimasak sekali sehingga kering bersama bahan-bahan lain. 

Cara menggoreng pula ada banyak mazhabnya. Ada yang kata campurkan kelapa parut dalam bahan inti. saya tak pernah lagi cuba. Lagipun, memang saya kurang gemar mencampurkan kelapa parut dalam serunding ikan. Hilang keaslian rasa ikan tu rasanya. Ada juga yang mencadangkan adunan doh diperap 5-6 jam. Kaedah ini mungkin berkesan kerana saya telah mencubanya. Tapi kadang-kadang malas nak memerap, saya bancuh terus, uli dan goreng. Heheh...

Awal-awal dulu saya goreng dalam minyak yang banyak (berendam) dengan api yang sangat kecil untuk mengelakkan ianya meletup ketika digoreng. Sekarang ni dapat satu cara lain, goreng paung tu ketika minyak (banyak- berendam) betul-betul panas dan golek-golekkan sahaja sehingga ianya kekuning-kuningan. Nampak je paung tu mengelembung, cepat-cepat angkat. Kalau tak, meletuplah dia kenalah minyak panas pada muka dan sebagainnya. Hati-hati ketika menggoreng sebab paung memang mudah sangat meletup. Pastikan tiada anak kecil berhampiran ketika menggoreng ya...

Resepi paung ini saya sudah memuatnaik terlebih dahulu di myresipi dan saya taipkan lagi sekali di sini...




PAUNG GORENG

BAHAN-BAHAN DOH (5 orang):
  • 1 1/2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung gandum @ tepung beras
  • sedikit garam
  • air secukupnya
  • minyak secukupnya untuk menggoreng terendam
BAHAN-BAHAN INTI:
  • 200g ikan kembung/ selayang/ tenggiri/ parang @ apa-apa ikan yang sesuai (dibakar/ direbus & diambil isi)
  • 6 ulas bawang merah
  • 1 1/2 sudu kecil lada hitam biji
  • 1/2 cawan santan pekat @ 1 cawan santan / susu cair
  • 1 sudu kecil halba
  • 1 keping asam keping
  • garam dan gula secukup rasa

KAEDAH:
  1. Kisar bawang merah dan lada hitam dengan sedikit air.
  2. Masukkan semua bahan-bahan inti dan bahan-bahan kisar ke dalam kuali dan masak sehingga kering (jangan lupa bawa keluar asam keping apabila inti hampir kering). Sejukkan inti.
  3. Gaulkan tepung pulut, gandum @ beras, garam dan air (jangan terlalu lembut / keras).
  4. Bentukkan adunan tepung menjadi bebola kecil, leperkan, letakkan inti dan bentukkan kembali menjadi bola. Untuk mengelakkan bebola melekat antara satu sama lain dan mudah diangkat sebelum digoreng, gaulkan bebola di dalam mangkuk yang berisi minyak sedikit.
  5. Goreng dalam minyak yang banyak dengan api yang kuat/ sedang (masukkan paung ketika minyak betul-betul panas). Golek-golekkan paung dan terus angkat paung setelah ianya kekuningan. Angkat sebelum paung mengelembung besar kerana paung mudah meletup!

Laksa Asam Penang

Laksa asam Penang resepi ibu saya tanpa menggunakan bawang. Rasa ikan yang 'kaww'!

Ikan saya lebih suka dibakar kerana lebih wangi tetapi boleh juga direbus. Isi ikan pula saya lebih suka ditumbuk lumat dan sedikit kasar / ramas-ramas je sebab kalau nampak kepingan-kepingan isi ikan tu lebih menarik (bagi saya lah). Boleh juga isi ikan tersebut dikisar kalau malas.

Kalau di sini (Jepun) saya menggunakan mee udon menggantikan mee laksa. Daun kesum diimport khas daripada Malaysia manakala bunga kantan dibeli daripada baticrom.com. Ikan pula saya gunakan ikan saba (macam ikan selayang).



LAKSA ASAM PENANG

BAHAN-BAHAN (5-6 orang):

  • 1kg ikan kembung / tenggiri / parang
  • 1 kuntum bunga kantan
  • 1 genggam daun kesum
  • 8-10 keping asam keping 
  • 2cm belacan
  • 4 sudu besar cili kering dikisar / ikut pedas masing-masing
  • garam dan air secukupnya
  • bahan tambahan: telur rebus, limau kasturi, nenas didadu kecil, ulam-ulaman
  • laksa kering 1/2 peket direndam dan dicelur dalam air panas @ 600g-800g laksa basah dicelur sebentar

KAEDAH:
  1. Ikan dibakar (boleh juga direbus). Isi ikan diasingkan daripada tulang, ditumbuk lumat dan sedikit kasar. Kalau isi ikan lembut, ramas-ramas sahaja isi ikan tersebut. Boleh juga dikisar isinya. Tulang-tulang ikan tersebut dikisar, ditapis dan diambil airnya.
  2. Masukkan kesemua bahan kecuali bahan tambahan dan laksa ke dalam periuk. Masak sehingga kuah sedikit pekat.
  3. Hidangkan semasa panas bersama bahan tambahan.

Monday, 9 September 2013

Simple Grilled Chicken

Ayam panggang ringkas dan mudah. Boleh juga gunakan kepak / peha ayam. Biasanya saya gunakan isi bahagian kaki tanpa tulang.

Resepi ini telah pun saya muatnaikkan di myresipi dan saya tuliskan lagi di sini.




SIMPLE GRILLED CHICKEN / AYAM PANGGANG RINGKAS

BAHAN-BAHAN (4-5 orang):

  • 4 keping ayam boneless (peha)
  • 1/2 inci halia ditumbuk @ 1/2 ts serbuk halia
  • 3 ulas bawang putih ditumbuk @ 1 ts serbuk bawang putih
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar madu
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 2 sudu kecil serbuk lada hitam & putih
  • 1/2 sudu kecil oregano (jika suka)
  • sedikit serbuk paprika (jika suka)
  • garam secukupnya


KAEDAH:

  1. Sekeping daging ayam dipotong kepada 2 bahagian dan dicuci bersih serta ditos kering.
  2. Gaulkan ayam dengan semua bahan dan diperap sekurang-kurangnya 4-5jam atau semalaman.
  3. Bakar ayam sehingga masak.
  4. Sapukan air/minyak yang keluar (semasa ayam dibakar) ke atas ayam semasa dibakar dan selepas supaya ayam kelihatan berkilat.


Moist Chocholate Cake / Kek Coklat Lembap (pakai blender je)

Kek coklat kegemaran suami saya. Boleh kata paling kurang dua minggu sekali mesti buat! Pernah juga tiap-tiap minggu buat.

Alhamdulillah mudah sangat nak membuatnya. Kalau rajin saya kukus (lebih moist). Tapi kebiasaannya malas so saya bakar je. Heheh...

Banyak versi yang boleh dibuat menggunakan resepi ni. Antaranya dalam bentuk muffin dan cup cake. Saya juga gunakan resepi yang sama dan tambah cheese cake untuk Devil's Chocolate Cake & Kek Coklat Lapis Cheese.


Kek Coklat Lembap

Kek Coklat Lembap (versi bakar)

Kek Coklat Lembap

Kek Coklat Lembap (versi bakar)

Kek Coklat Lembap (versi bakar)

Devil's Chocolate Cake

Devil's Chocolate Cake

Kek Coklat Lapis Cheese

Resepi asal adalah daripada saya sendiri. Namun begitu, pada awalnya saya sudah memuatnaik di myresipi.



MOIST CHOCOLATE CAKE / KEK COKLAT LEMBAP

BAHAN-BAHAN:
Bahan A (*diayak bersama):

  • 1 1/2 cawan tepung gandum*                             
  • 3/4 cawan serbuk coklat Van Houton [1 cup kalau Meiji Milk Cocoa]* 
  • 1/2 sudu kecil baking soda
  • sudu kecil baking powder
  • secubit garam [kalau guna Meiji Milk Cocoa tak perlu garam]
  • 1 cawan gula halus

BAHAN B:
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 3/4 cawan susu cair / susu segar
  • 2 biji telur saiz A
  • 1/2 sudu kecil jus lemon / cuka


BAHAN TOPPING:
  • 200ml whipping cream / susu cair / susu segar
  • 250g dark chocolate (potong kecil)
  • 1/4 cawan susu pekat manis / gula halus 
  • 1/4 cawan minyak masak



KAEDAH:
  1. Gris loyang 20cm dan taburkan tepung sedikit / lekatkan baking paper. Panaskan oven pada suhu 170ºC selama 10 minit / didihkan air pengukus.
  2. Masukkan (ikut turutan) serbuk coklat, gula, garam, minyak, susu, telur dan jus lemon. Blender (kisar) sehingga sebati.
  3. Masukkan pula tepung, baking soda dan baking powder sedikit demi sedikit ke dalam adunan yang telah dikisar. Kisar-berhenti-kisar-berhenti. Ulang sehingga adunan sebati. Jangan kisar terlalu lama nanti kek bantat pula.
  4. Tuangkan adunan ke dalam loyang. Bakar dalam oven (boleh guna kaedah au bain-marie @ waterbath untuk lebih moist) 40 minit / sehingga masak atau kukus selama 1 jam / sehingga masak. Cucuk lidi di tengah-tengah kek. Kalau tak melekat, dah masaklah tu.
  5. Topping: Panaskan (api yang sangat perlahan) whipping cream / susu sehingga hampir mendidih dan masukkan bahan lain. Tutup api dapur dan kacau sehingga adunan topping sebati. Biarkan sejuk sedikit.
  6. Keluarkan kek dari loyang setelah agak sejuk sedikit. Bahagikan kek kepada 2 bahagian dan sapukan sedikit topping di tengah-tengah (pastikan topping tidak terlalu cair dan panas). Cantumkan kedua-dua bahagian kek.
  7. Panaskan kembali topping yang telah sejuk di atas api menggunakan api yang sangat perlahan. Tuangkan topping ke atas kek ketika masih panas.
  8. Jika hendak menggunakan buah-buahan segar yang dipotong, pastikan buah-buahan itu dipotong terlebih awal dan serap airnya menggunakan kitchen paper / tisu untuk mengelakkan air daripada buah tersebut merosakkan topping kek.









Monday, 19 August 2013

Biskut Nestum

Biskut kegemaran Umi dan anak saya. Boleh tukar jadi biskut oat kalau tak nak nestum...




Resepi asal saya ambil daripada blog ini dan seperti biasa resepi diolah semula oleh saya.

Biskut Nestum

BAHAN-BAHAN:
  • 250 g mentega
  • 100 g kismis
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung jagung
  • 3 cawan nestum / oat segera
  • 1 cawan gula halus
  • 2 biji telur
  • sudu kecil esen vanila

KAEDAH:
  1. Pukul mentega dengan gula hingga kembang.
  2. Masukkan telur dan esen vanila. Kacau sebati. 
  3. Masukkan semua tepung dan nestum. 
  4. Masukkan kismis dan uli hingga sebati.
  5. Bentukkan biskut. Saya bulat-bulatkan sahaja. 
  6. Bakar dalam oven selama 15 minit dgn suhu 170-180 ºC atau mengikut kepanasan oven masing-masing sehingga garing.



Biskut Chocolate Chips Rangup

My hubby's favourite! Mudah & senang nak membuatnya. Anak saya pon suka. Saya lagi suka! heheh..
Biskut ni ala-ala biskut Famous Amous tu..

Resepi asal daripada Kak Fida di myresipi tapi saya ambil resepi dari sini dan diolah semula mengikut selera saya..





Biskut Chocolate Chips Rangup


BAHAN-BAHAN:

  • 190g mentega (dilembutkan)
  • 120g gula halus
  • 1 biji telur (gred A)
  • 1/2 sudu kecil esen vanilla
  • 220g tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil baking soda
  • 2 sudu besar serbuk koko 
  • 160g choc chip
  • 170g walnut panggang dicincang / badam panggang ditumbuk kasar

KAEDAH:

  1. Mentega dan gula digaul rata. 
  2. Masukkan telur dan esen dan digaul lagi hingga sebati.
  3. Dalam bekas lain, satukan bahan kering (tepung, baking soda & koko diayak bersama).
  4. Bahan-bahan kering dicampurkan ke dalam adunan mentega dan digaul rata.
  5. Masukkan walnut dan choc chip kemudian gaul sebati.
  6. Doh yang dah siap, disimpan dalam peti sejuk selama 1.5-2 jam supaya adunan sedikit keras dan choc chip tidak cepat cair.
  7. Sudukan doh ke atas baking paper. Pastikan jarak antara satu biskut sekurang-kurangnya 3cm.
  8. Bakar biskut pada suhu 180ºC selama 15-20 minit atau mengikut kepanasan oven masing-masing sehingga garing.
  9. Simpan biskut dalam bekas kedap udara setelah ianya sejuk.



Tuesday, 6 August 2013

Banana Chocolate Muffin (pakai blender)

Muffin kegemaran kami sekeluarga. Sangat mudah nak membuatnya! Pakai pengisar (blender) je. Opsss! saya chef yang malas memang suka meringkaskan resepi walaupun resepi asal memang sedia ringkas dah. 

Highly recommend to ibu-ibu yang kekurangan masa di dapur. Tak sampai 15 minit nak membancuh. Membakar jelah yang makan masa sedikit.



Banana Chocolate Muffin
Resepi asal by K.Yani MyResipi
Olahan semula by Ummu Iman :

BAHAN-BAHAN ( -+14 biji muffin cup saiz 7)

  • 200g tepung gandum
  • 50g serbuk koko (saya guna Meiji Milk Cocoa)
  • 100g gula halus
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil baking soda
  • 2 biji telur
  • 75ml minyak masak
  • 100ml susu segar
  • 3 biji pisang (patah-patahkan)
*kalau nak guna coklat masakan lain (contoh: Van Houten), saya sukat serbuk koko 30g sahaja & 120g gula halus

KAEDAH: 
  1. Masukkan (ikut turutan) pisang + serbuk koko + gula + telur + minyak masak + susu ke dalam blender. Kisar sehingga sebati agak-agak pisang hancur kesemuanya.
  2. Masukkan sedikit demi sedikit tepung + baking powder + baking soda yg telah diayak ke dalam adunan. Kisar lagi 5 saat-pause-5 saat-pause sampailah adunan sebati. * jangan kisar terlalu lama.
  3. Sudukan adunan ke dalam bekas muffin dan hias dengan coklat bar di atasnya. Bakar pada suhu 160-170ºC selama 20-30 minit atau sehingga masak.



Yang ni versi marble